Saturday, June 13, 2009

Kampung Belum Baru dan Kaitan Kampung Belum Lama (Royal Belum)

( gambar hiasan menggunakan teknik fotografik perisian adobe)
Penduduk kampung Belum Baru sekarang adalah merupakan keturunan asal Melayu Patani yang tinggal di Perkampungan Belum Lama sejak berkurun dahulu lagi di bawah naungan kerajaan Patani/Siam (Pemerintahan Raja Reman atau Raja Rahman). Pemerintah Inggeris yang menguasai negeri-negeri Melayu sebelum kemerdekaan dahulu telah mengambil Daerah Belum Lama ini dan meletakkannya dalam peta negeri Perak pada tahun 1909 melalui perjanjian British Siam. (Kampung Belum Baru ni hanya 10 minit dari Kampung Tanjung Kasau jalan menuju ke Lenggong)

Pada 16 Mac 1952 penduduk kampung Belum Lama telah dipindahkan oleh kerajaan British secara paksa ke penempatan sekarang iaitu kampung Belum Baru disebabkan pengganas komunis telah menjadikan kampung Belum Lama sebagai pengkalan dan tempat mendapatkan bekalan dan menghasut penduduk. Kampung Belum Baru mula dihuni pada awal tahun 1953.

Sejak dibawah naungan kerajaan Patani (Siam) lagi, daerah perkampungan Belum Lama adalah merupakan sebuah Daerah atau Mukim yang lengkap mempunyai Penghulu dan Ketua Kampung. Juga mempunyai kemudahan masjid dan sekolah. Pemegang jawatan ketua di perkampungan ini adalah mengikut pangkat jawatan di kalangan masyarakat Melayu seperti Tok Penghulu dan Tok Ketua (ketua kampung). Semasa orang Melayu Patani tinggal di Belum Lama, memang ada orang Asli tinggal di kawasan tersebut tetapi mereka tidak menjadi kaum dominan dikawasan tersebut sebagaimana juga orang Asli di tempat lain pada masa ini. Malah ada diriwayatkan bahawa pernah terjadi perbalahan di antara orang Melayu dan orang Asli di kawasan tersebut pada satu masa dahulu.

Hanya selepas tahun 1952 iaitu setelah orang Melayu dipaksa pindah ke penempatan Kampung Belum Baru sekarang barulah orang Asli mendominasikan kawasan tersebut. Pangkat jawatan seperti 'Tok Batin' adalah jawatan atau pangkat ketua orang asli. "Tok Batin” tidak digunakan untuk jawatan dalam masyarakat orang Melayu. Malah kebudayaan dan adat kaum orang asli adalah berlainan daripada adat orang Melayu. Hanya sejak kebelakangan inilah sahaja terdapat kaum orang asli yang mengikut adat orang Melayu kerana ada yang telah memeluk agama Islam dan telah bergaul dengan orang Melayu. (mengikut cerita.. dulu-dulu ada orang Belum Lama handal dalam bab sungai, ada cerita mengatakan semasa keganasan komunis ada yang boleh memasak nasi dalam sungai perrr hebat tu)

Di kawasan bekas penempatan penduduk Kampung Belum Lama masih terdapat kesan sawah padi, tali air, dusun buah-buahan dan kerbau liar. Lain-lain tanda bekas peninggalan bekas penduduk Kg Belum Lama adalah 11 kawasan tanah perkuburan Islam. Ini membuktikan bahawa ianya adalah bekas penempatan orang Melayu Islam yang mengusahakan sawah padi, ternakan kerbau dan tanaman dusun buah-buahan seperti Durian, Langsat, Rambai dan Bacang serta amalan mengebumikan jenazah secara Islam. Oleh itu, tidak timbul persoalan yang menyatakan bahawa terdapat bekas penempatan orang asli di situ kerana orang asli tidak melakukan perkara yang dinyatakan diatas.

Pada masa sekarang pelawat yang mengunjungi perkampungan Belum Lama berpeluang mendapatkan pengalaman semula jadi melawat penempatan orang asli dan lain-lain pengalaman di dalam hutan di kawasan Belum Lama kerana tiada lgi orang Melayu tinggal disana. Namun demikian untuk mendapatkan cerita sebenarnya sejarah masa lampau Kampung Belum Lama dan kaitannya dengan Kampung Belum Baru, pelawat bolehlah melawat ke Kampung Belum Baru. Adalah lebih relevan sekiranya bakal pelawat mendapatkan khidmat pandu arah untuk ke kawasan Kampung Belum Lama dari penduduk kampung Belum Baru kerana merekalah yang sebenarnya tahu asal usul Kampung Belum Lama.

Hampir 85% penduduk kampung Belum Baru sekarang adalah generasi baru kerana ramai dikalangan penduduk asal yang berpindah dari Lembah Belum telah meninggal dunia. Namun demikian bagi beberapa orang yang masih ada, walaupun kebanyakannya telah uzur tetapi masih lagi mempunyai daya ingatan yang baik dan dapat menceritakan kisah-kisah lampau kampung Belum Lama. Sementara itu pemuda/generasi baru penduduk kampung Belum Baru telah dibekalkan dengan pengetahuan berhubung dengan kisah/riwayat Belum Lama yang diperturunkan oleh orang tua mereka. Usaha ini dijalankankan agar tidak timbul salah faham berhubung dengan perkampungan Belum Lama yang dianggap oleh setengah pihak adalah bekas penempatan orang asli sedangkan penempatan Belum Lama adalah sebuah Mukim yang ditadbirkan oleh orang Melayu keturunan Patani yang sekarang ini adalah penduduk Kampung Belum Baru.

Sekiranya ada pihak yang berminat untuk melawat perkampungan Belum Lama, silalah datang ke Kampung Belum Baru kerana maklumat yang didapati adalah lebih tulen. Pada masa ini banyak pihak tertentu lebih mengutamakan ‘komersial’ dari cerita sebenar perkampungan Lembah Belum.

8 comments:

tanjungkasau said...

Artikel ni saya ambil dari kampungbelum page dengan izin

zahari1950 said...

Terima kasih kerana mempromosikan "Kampung Belum Baru" melalui web page tuan. Sejarah kampung Belum Baru adalah sejarah bersama Hulu Perak.

Saya berminat juga untuk mengetahui sejarah perkampungan lama "TERA" yang dikatakan ada kaitan dengan Kg kenayat dan Tg Kasau.

Di pendalaman "TERA" dikatakan ada dusun dan bekas penempatan. Ada diantara tanah di sana dikatakan sudah diberi geran milik.

Kalaulah ada penyelidik, tentu kita boleh mengikutinya bersama.

zahari mat taib
pengendali laman web
belumbaru.kkgri.edu.my

hang nadim said...

zahari> masa tuu saya tengah rajin explore blog ni, bila jumpa artikel pesal gerik saya cuba ketengahkan..sebenanya saya pun tk pernah sampai kampung TERA tuu...mmg ada geran lagi..beberapa thn lepas diorg ada keluarkan kayu dari kg tu. Sekarang aku dengar kalau naik Hilux pun dh bole sampai situ..Kelmarin saya jumpa org belum nama dia Pak Long, aku layan dia kejap...dia kata dia jual keta mewah dkt Kayu Ara showroom lepas tol tuuu.

noor satinah said...

artikel yg menarik,cuma saya nak tambah sikit,ada jga sbhagian dr pnduduk asal kg belum lama telah brpindah ke kg temenggor(skrg dh tggelam dek pmbinaan empangan) saya tau cerita ini dr ayah saya,yg mana arwah datuk saya yg pernah menetap di belum lama,kemudian ke kg temenggor seterusnya kg ganda temenggor .

zahari1950 said...

Memang sejarah perhubungan dan pertalian saudara antara penduduk kg Belum Lama dengan Penduduk Perkampungan Temengor telah lama terjalin. Malah ramai antara mereka ada pertalian keluarga yang masih dekat lagi. Bukan hanya dengan Temengor malah dengan Kg Bersia, Kuala Kenerong, Kg Sawa hingga ke Kg Chepor dan Kg Luat. Maklumlah pada masa dahulu perhubungan pengangkutan hanya melalui Sungai Perak. Persinggahan di Kampung-kampung dipinggir Sungai Perak tersebut menyebabkab ada yang tersangkut hati dan berkahwin di kampung berkenaan.

Berhubung orang Belum lama berpindah ke Temengor dulu adalah perpindahan biasa disebabkan keperluan kehidupan dan saudara mara. Tetapi perpindahan beramai-ramai penduduk Belum Lama pada tahun 1952 hingga membuka Kg Belum Baru pada tahun 1953 adalah kerana paksaan kerajaan British di Malaya pada ketika itu. Ianya langsung tidak melibatkan penduduk Temengor.

Manakala perpindahan penduduk Temengor ke penempatan Kampung Air Ganda adalah perpindahan yang di rancang oleh kerajaan kerana pembinaan Empangan Temengor untuk janakuasa letrik pada lewat tahun tujuh puluhan. Kg Temengor dan perkampungan kecil disekitarnya ditenggelami air apabila Empangan temengor berfungsi.

Kampung Belum lama tidak pernah tenggelam dalam tasik empangan Temengor kerana bekas perkampungan tersebut berada sejauh lebih kurang 13km dari kawasan tasik empangan Temengor yang paling hampir sekali. Ianya terletak di kawasan tanah tinggi dan mempunyai iklim sejuk yang mempesonakan.

Ianya memelukan masa 3 jam bagi pemuda tahan lasak dan minima 5jam bagi orang berumur yang sihat berjalan kaki untuk sampai ke sana dari pingir tasik empangan Temengor iaitu di Kuala Kejar.

Saya tuliskan ini hanya sebagai perkongsian sejarah di Hulu Perak. Jika ada sedikit sebanyak kesilapan fakta harap maaf. Terima kasih.

zahari1950 said...

Jika ingi mengetahui lebih mendalam, sila ke laman web www.belumbaru.kkgri.edu.my atau http://panglimapergau.blogspot.com

saya juga berminat untuk berkongsi pengalaman dan sejarah jika ada sebarang laman web atau blod selain dari blog kampung halamanku.

Jauh perjalanan banyak pengalaman. Ramai sahabat banyak pendapat

shah wan said...

Saya dah pernah sampai kg tera tu anak sungai dia cantik ada pokok getah dan buahan kesan peninggalan pendusuk kg tera

shah wan said...

Dah pernah g kg tera ne ada byk tempat menarik contohnya anak sungai pokok getah dan buah2an dan kaw seakan2 sawah padi penuh dgan pokok salom