Sunday, October 2, 2011

Kampung Yang Tenggelam

TIGA puluh lima tahun telah berlalu. Bagi yang mengalaminya sendiri, tidak sedetik pun nostalgia Kampung Temengor yang terletak di Gerik, Perak ‘tenggelam’ dalam ingatan.

Kisah lampau kewujudan kampung Melayu itu hanya tinggal sejarah apabila Lembaga Letrik Negara kini Tenaga Nasional Berhad (TNB), membina empangan stesen hidroelektrik di kawasan tersebut.

Pelaksanaan projek yang mengambil masa lima tahun bernilai RM340 juta itu, telah menenggelamkan keseluruhan ‘isi perut’ sebuah kampung terpencil tetapi dianggap paling istimewa oleh setiap penghuninya.

Maka ‘berkuburlah’ di dasar Tasik Temengor rumah-rumah bertongkat kayu dan beratap rumbia, masjid, sekolah termasuklah juga tanah sawah, dusun serta sebahagian kebun getah.

Penenggelaman Kampung Temengor sekali gus menandakan berakhirnya suatu zaman ‘primitif’ bagi masyarakat tebing sungai yang telah wujud selama lebih 300 tahun dahulu.

Namun, benarlah kata orang, setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Setelah projek hidroelektrik itu siap sepenuhnya pada tahun 1978, ia berupaya menyumbang sebanyak 348 megawatt keupayaan terpasang dan menghasilkan tenaga purata berjumlah 900 juta unit setahun.

Malah, penghijrahan membabitkan 124 buah keluarga menghadapi kehidupan baru di Kampung Ganda Temengor menjadi bukti usaha gigih TNB membangunkan potensi hidroelektrik di Semenanjung Malaysia selain memberi sinar baru kepada mereka yang terlibat.

Yang pasti, jika dahulu, rumah penduduk tidak dilengkapi kemudahan asas, skim penempatan semula yang ditawarkan TNB lengkap dengan ciri-ciri serba moden. Antaranya termasuklah sebuah rumah dengan bekalan elektrik dan air serta tanah seluas hampir lima hektar (12 ekar) untuk bercucuk tanam.

Biarpun ingatan pada kampung asal yang ditinggalkan sejak lama dahulu masih segar, namun tidak ramai anak kampung itu yang berpeluang untuk kembali ke kampung asal mereka sejak melalui detik-detik penghijrahan pada 26 Jun 1976.

Yang pasti, walaupun tiada apa lagi yang tersisa kerana keseluruhan kawasan Kampung Temengor telah lama ditenggelami air, pokok-pokok getah yang ‘terselamat’, cukup untuk mengubati kerinduan terhadap kenangan lalu di kalangan waris yang tinggal. Hehehe jangan marah aku cilok dlm Utusan bertarikh 1.10.2011...layan

No comments: