Tuesday, April 28, 2009

sambungan Cerita Aruah Syed kechik


Syed Kechik yang ditugaskan sebagai penasihat undang-undang peribadi beliau, dikatakan orang yang paling dipercayai oleh Mustapha hingga ada yang menggelarnya sebagai ‘Ketua Menteri Sabah yang sebenar’. Menurut buku itu lagi, Syed Kechik juga memainkan peranan belakang tabir atas arahan Tunku bagi membantu menyelesaikan krisis perlembagaan di Sarawak pada 1966 apabila Ketua Menteri Sarawak yang pertama, Stephen Kalong Ningkan enggan meletak jawatan setelah menerima undi tidak percaya dalam Dewan Undangan Negeri. Membaca buku itu seolah-olah kita menonton filem James Bond, ‘melihat’ (membaca) bagaimana liciknya Syed Kechik menemui tokoh di belakang tabir dan berhubung dengan Tunku, menelaah undang-undang bagi mencari jalan penyelesaian tanpa pengetahuan masyarakat umum tetapi didedahkan dalam buku terbabit.Namun, peranan sebenar Syed Kechik lebih tertumpu di Sabah. Pada mulanya, Syed Kechik bertugas sebagai Penolong Setiausaha Parti Perikatan Kedah pada 1964 dan kemudian dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Penerangan dan Penyiaran, Datuk Senu Abdul Rahman (1964-1967) sebelum ditugaskan selaku Setiausaha Politik Menteri Hal Ehwal Sabah dan Menteri Pertahanan Awam, Tun Mustapha (1966-1967). Sejak itu, Syed Kechik begitu rapat dengan Mustapha yang bukan saja sebagai pembantu khas, malah diberi pelbagai jawatan seperti Ahli Majlis Eksekutif Negeri bagi parti Usno (1968-1972); Setiausaha Agung Persatuan Islam Bersatu Sabah (Usia) 1969-71; Pengerusi Lembaga Pembangunan Tanah Sabah (1970-71) dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah (1975-76). Lapan tahun, Syek Kechik membantu Mustapha selaku Ketua Menteri bukan saja berpengaruh dalam politik bagi memperkukuhkan kedudukan pemimpin ulung Sabah itu, malah membantu mengukuhkan ekonomi negeri. Beliau membina Yayasan Sabah, yang digunakan oleh Mustapha sebagai instrumen utamanya untuk memperkukuhkan kedudukan ekonomi dan kuasa politik. Yayasan itu antara lain berperanan meningkatkan taraf ekonomi dan sosial masyarakat Bumiputera Sabah. Ia juga turut menyediakan tajaan dan biasiswa pendidikan kepada anak-anak Sabah.Bagaimanapun kemelut dalaman yang berlaku dalam parti Usno pimpinan Mustapha menyebabkan parti itu tewas kepada Parti Berjaya pimpinan Datuk Harris Salleh pada pilihan raya negeri 1976. Pergolakan dalaman dan kekalahan itu membawa Syed Kechik kembali ke Kuala Lumpur. Dengan pengalaman dan pengaruh dalam dunia politik, Syed Kechik kemudian membabitkan diri secara serius sebagai ahli perniagaan, dengan pembabitannya dalam pembangunan hartanah, perhotelan, projek perumahan dan pelaburan asing. Antara pelaburan terbesar Allahyarham ialah dalam projek pembinaan Wisma On Tai sekitar 1970-an. Syed Kechik juga adalah pemegang saham terbesar dalam syarikat hartanah Sri Hartamas Corporation Bhd. Kejayaan yang dilihat sebagai mercu tanda kepada orang Melayu ialah apabila Syed Kechik berjaya memiliki bangunan sendiri iaitu Yayasan Syed Kechik di Bangsar. Bagaimanapun, Syed Kechik memulakan kerjayanya dalam perniagaan dan politik agak lambat. Sebagai remaja, beliau membantu ayahnya di kedai dobi dan kemudian melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat untuk belajar dalam bidang sains politik dan hubungan antarabangsa di University of California. Oleh kerana kesempitan hidup, beliau sanggup bekerja sebagai pencuci pinggan mangkuk di restoran dan sebagai pelayan (waiter) untuk mencari rezeki menampung perbelanjaan. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Lincoln Inn, London sebelum kembali ke Malaysia dan terus membabitkan diri dalam politik Umno di Kedah. Di situlah beliau mula mengenali Tunku Abdul Rahman dan kemudian diminta oleh Bapa Kemerdekaan itu untuk ke Sabah, Negeri Bawah Bayu yang berjaya menukar corak kehidupannya. Beliau tidak berfikir dua kali untuk menerima tawaran membantu Mustapa. Apabila kembali ke Semenanjung setelah berakhirnya penguasaan Usno pimpinan Mustapha di tangan parti Berjaya pimpinan Harris, Syed Kechik menumpukan penuh perhatian kepada bidang perniagaan hingga muncul antara Bumiputera pertama menjadi ‘multi-millionaires’. Syed Kechik adalah juga Presiden pertama Persatuan Pengeluar-pengeluar Filem Malaysia (PFM) setelah terpilih dengan menewaskan Tan Sri Jins Shamsuddin menerusi pengundian pada 1980. Beliau juga mempunyai sebuah syarikat perfileman sendiri iaitu Syed Kechik Film Productions dan filem pertama keluaran syarikatnya ialah Bintang Pujaan yang diterbitkan pada 1979. Antara filem lain yang diterbitkan oleh Syed Kechik Film Productions yang mendapat sambutan baik penonton ketika itu ialah Sumber Ilhamku lakonan Mahmood Jun dan Datuk Sharifah Aini. Pada 1990-an, beliau ‘bersara’ daripada bergiat aktif dalam perniagaan dan perfileman dan kembali ke Alor Setar pada usia lanjut, tempat kelahirannya. Syed Kechik meninggal dunia pada usia 81 tahun di rumah menantunya merangkap anak saudara iaitu Pengerusi Eksekutif Yayasan Al-Bukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary di Jalan Sultanah, Alor Setar pada 10 April lalu. Amin. Baca seterusnya..
Posted by sabre at 2

No comments: