Sunday, August 30, 2009

'Abang belajar apa, tolong ajar aku'

GAMBAR kenangan Dr Ismail bersama keluarga.


JANJI Zakaria Md Salleh, 64, kepada ibunya dia akan menjaga adiknya sampai mati bukan cakap kosong.

Khamis lalu adalah penamat khidmat beliau sebagai pembantu peribadi yang juga abang kepada Ketua Pegawai Eksekutif Twintech Holdings dan Naib Canselor Universiti Kolej Antarabangsa Teknologi Twintech, Allahyarham Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh.
Ismail meninggal dunia dalam penerbangan dari China ke Singapura pagi Khamis lalu pada usia 61 tahun.

Pemergian mengejut Allahyarham adiknya itu akibat komplikasi serangan jantung banyak meninggalkan kenangan kepada beliau, apatah selaku 'mata dan telinga' untuk adiknya itu, khususnya apabila mengingati ada perjuangan Allahyarham yang belum selesai.

Masih kuat dalam ingatan, setiap kali pulang dari sekolah ketika kecil, Ismail akan setia menunggu dengan pelita tanah. Zakaria disapa dengan ayat: "Apa abang belajar hari ini, tolong ajar aku." Demikianlah minat mendalam terhadap ilmu pengetahuan ditunjukkan Allahyarham seawal usia lima tahun.

"Kesungguhan Allahyarham dan desakan hidup akibat kemiskinan ditambah persepsi masyarakat yang menghina serta memandang serong keluarga kami yang ada anak cacat penglihatan menguatkan lagi hati saya untuk berkorban apa saja demi masa depannya," katanya yang terpaksa memperlahankan aktiviti bersama Allahyarham tiga tahun lalu, selepas menjalani pembedahan pintasan jantung.

Walaupun hidup susah dalam rumah yang berdinding dan lantai buluh serta beratap rumbia, mereka sembilan beradik begitu bersyukur dengan ayah mereka, Md Salleh Yusof yang hanya petani, tetapi berpandangan jauh.

"Kami sekeluarga terpaksa menerima tohmahan dan umpat cerca orang kampung apabila ayah menempatkan Ismail di Sekolah Orang Buta Princess Elizabeth di Johor Bahru. Kata mereka kami sekeluarga nak cuci tangan daripada tanggungjawab membela anak kurang upaya, tidak kurang pula menyindir sanggup menjaga Ismail jika ayah tidak sanggup," katanya yang dibesarkan di Kampung Gua Salor, Pasir Mas, Kelantan.

Biarpun permulaan usaha untuk memastikan mutu pembelajaran diterima setimpal dengan kebijaksanaan Allahyarham, hakikatnya kemudahan untuk orang seperti Ismail pada awal 60-an hampir tiada cukup untuk perkara asas saja.

Sebagai abang yang memang cukup akrab dengan Allahyarham, kasih sayangnya terhadap adik beradik lain tidak dibeza-bezakan. Lumrah dalam hubungan adik beradik memang tidak dapat lari daripada berselisih faham, namun tidak bagi Zakaria dan Ismail.

"Susah untuk saya jelaskan, keakraban kami sebagai adik beradik sukar untuk diterjemahkan. Biarpun saya diibaratkan mata dan telinganya, saya tidak ambil hati langsung jika ditegur Allahyarham. Bagi saya, apa yang keluar dari mulutnya datang daripada Allah, bukan sembarangan. Gerak rasa, pemikirannya melangkaui insan normal, sangat luhur buat saya.

"Adik beradik lain sangat memahami tumpuan yang perlu diberikan kepada Allahyarham. Mereka tidak pernah merungut, malah bersama-sama cuba membantu selagi terdaya," katanya yang sanggup meninggalkan perniagaan miliknya semata-mata untuk menjadi mata dan telinga kepada Allahyarham.

"Memang saya tinggalkan semuanya kerana dia. Saya tinggalkan perniagaan di kampung padahal orang kampung ketika itu banyak bergantung pada kedai itu. Sebelum saya kahwin, sayalah yang membacakan buku untuknya, tukang masak, tukang dobi, menguruskan makan minum, pemandu, pembantu dan macam-macam lagi. Apa saja, semuanya saya buat tanpa mengabaikan adik yang lain," katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Kantan, Kajang sekembali dari menziarahi pusara adiknya.

"Sebaik dia kembali dengan tiga ijazah dalam masa tujuh tahun, perubahan kehidupan mula dirasai. Inilah hasil yang diraih selepas pelbagai pengorbanan hingga Allahyarham dan kami adik beradik mampu menghantar dua lagi adik kami melanjutkan pelajaran ke Australia dan Amerika Syarikat," katanya.

Beliau mengakui Allahyarham amat tersentuh ketika membicarakan soal masa depan Melayu.

"Sebagai pakar ekonomi, dia sangat bimbang orang Melayu ketinggalan kerana padanya Tragedi 13 Mei 1969 berpunca daripada kemiskinan yang dihadapi Melayu.

"Allahyarham berjuang untuk bangsa Melayu dan berjuang untuk membasmi kemiskinan. Usahanya selama ini tidak akan berkubur, malah pemergiannya bukan penghalang untuk memperjuangkan peningkatan akses terhadap infrastruktur orang kurang upaya (OKU) yang pada pendapatnya jauh ketinggalan berbanding di negara lain," katanya.

Syafiq Hanis , 19, anak keempat dan paling rapat dengan Allahyarham berkata, bapanya tidak pernah meninggikan suara, melenting apatah lagi memukul ketika mendidik anak.

"Biarpun ayah tegas, terutama dalam menentukan pendidikan anak, tetapi sekalipun ayah tidak pernah menguatkan suara setiap kali kami melakukan kesalahan. Malah, ayah ketawa apabila melihat emak menegur dan marahkan kami adik-beradik," katanya.

7 comments:

GRuNGe said...

Alfatihah kepada Allahyarham Prod Datuk Dr Ismail. Aku pernah bekerja dengan dia, walaupun tak lama. Semoga keluarganya tabah menghadapi ujian di bulan Ramadhan ini.

Untuk pengetahuan korang, abang dia pun bekerja dengan dia. Boleh kata seluruh keluarganya bekerja dengan dia.

Allahyarham berasal dari Kelantan dan menetap di Sungai Kantan, Kajang (kalau tak silap aku).

hang nadim said...

GRuNGe...Al-FAtihah untuk allahyarham..walaupun beliau seorang yang cacat penglibatan tetapi Kejayaan dan jasanya amat aku sanjungi tinggi.

cikgu liza said...

sedihnya.. arwah contoh terbaik usaha tangga kejayaan.. orang baik2 selalu tuhan ambil cepat.. wallahualam.. alfatihah..

Tajul said...

saya kagum dengan dia sebenarnye,patut la adiputra yg genius tu jadikan dia sebagai idola.

missdiya84 said...

arwah..adalah pengasas tempat nad belaja dulu IUCTT (twintech)..same2 kite sedekahkan al-fatihah untuk allayarham

hang nadim said...

cikgu liza> memang sedihkan cerita ni, pengorbanan seorang Abang untuk seorang adiknyer, semoga dapat kita mengambil iktibar kemulian hati mereka

Tajul> Selamat Berpuasa, oh apa cerita budak genius ni yer dulu aku dengar dia sedang Belajar di Universiti Selangor dkt Btg Berjuntai.

hang nadim said...

missdiya84> ohhhh Nad dulu dekat mana Twintech dekat Sri Damansara tu ke? Oh yer Allahyarham Naib Canselor Universiti Kolej Antarabangsa Teknologi Twintech