Friday, May 7, 2010

Berkat solat hajat jemaah


Kelicikan seorang lelaki yang memperdaya beberapa jemaah umrah di Langkawi, Kedah membabitkan kerugian lebih RM162,000 sebelum menghilangkan diri akhirnya berjaya dicekup pihak berkuasa ketika sedang berehat di rumahnya di Sungai Buloh, dekat sini, semalam.
Difahamkan, ketika ditahan suspek cuba melarikan diri, namun gagal kerana kediamannya itu sudah dikepung sekumpulan anggota dari Balai Polis Kuala Selangor.

Dalam serbuan kira-kira jam 10 malam itu, suspek yang berusia awal 40-an itu dikatakan cuba meloloskan diri melalui pintu belakang rumahnya sebaik menghidu kehadiran pihak berkuasa namun usahanya itu gagal.

Ketua Polis Kuala Selangor, Superintendan Mohd Taib Ahmad, ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek.
“Dia (suspek) akan diserahkan kepada polis Langkawi, untuk siasatan lanjut,” katanya.Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan seramai 65 jemaah di Langkawi, menjadi mangsa penipuan pakej umrah murah anjuran sebuah syarikat pelancongan berpejabat di Sungai Buloh, Selangor, mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin di sini, Isnin lalu. Majlis bacaan Yasin diadakan untuk memohon supaya dilembutkan hati wakil pengurusan syarikat berkenaan supaya memulangkan wang deposit yang dikutip daripada kumpulan jemaah itu RM2,500 setiap seorang. Seorang mangsa, Hassan Latif, 52, berkata majlis solat hajat yang diimamkan seorang guru agama, Ayob Ahmad itu turut bertujuan mengeratkan silaturahim antara jemaah dan mohon diperkukuhkan iman. “Kami juga mengadakan majlis ini untuk memohon ketenangan kepada semua jemaah yang menghadapi kesukaran selepas ditipu wakil syarikat pelancongan berkenaan, baru-baru ini,” katanya. Beliau berkata, pihaknya juga kini sepakat melantik Musa Abdul Rahman selaku wakil untuk berada di ibu negara bagi mendapatkan kembali wang dan pasport antarabangsa mereka yang masih dipegang syarikat berkenaan.

No comments: