Monday, July 27, 2009

Nasib Peniaga tiada 'kabel'


KALAU melihatkan kepada senarai bantuan disediakan, sememangnya sebagai rakyat Malaysia tiada apa yang perlu dipertikaikan dengan kewibawaan kerajaan. Ramai anak muda termasuk aku begitu minat berniaga tapi..
Menerusi pengalaman kawan saya yang memohon pinjaman melalui Skim Tabung Ekonomi Belia (STEB) sejak Mei lalu, sehingga ke saat komen ini ditulis, dia masih tidak menerima kelulusan permohonan akibat kelembapan sebuah bank cawangan Banting yang menguruskannya.

Syukur, Kementerian Belia dan Sukan menyediakan STEB khusus membantu belia yang terbabit dalam bidang pertanian.Namun, kerana pekerja bank yang menguruskan, sehingga hari ini masih belum diluluskan pinjamannya. Kalau mengikut kata pegawai belia daerah, proses pinjaman biasanya hanya mengambil masa di antara empat minggu atau selewat-lewatnya enam minggu.
Sekarang sudah lebih sembilan minggu. Sepatutnya kenalah faham, kami sudah keluarkan modal dari awal, berstatus belia dan benar-benar menjalankan perniagaan berasaskan pertanian.

Kami bukan mewarisi tanah berelung-relung, duit bergunung daripada keluarga. Kami bergiat dalam pertanian kerana keinginan untuk mengubah nasib keluarga, tetapi bila hendak membuat penambahbaikan dengan pinjaman, kena tunggu berbulan-bulan.

Inilah nasib belia Melayu. Disebabkan kawan saya ini tiada ‘kabel’ dengan mana-mana pegawai, dia hanya mewakili rakyat biasa, inilah harga yang perlu dia bayar sebagai rakyat biasa apabila memohon pinjaman, memakan masa sampai berbulan-bulan untuk diluluskan.

Jangan ditanya kenapa dan mengapa semakin ramai terjebak dengan kegiatan haram along walaupun amaran dan nasihat terus diberikan. Inilah puncanya. Wang sudah dilaburkan untuk perniagaan, apabila memohon pinjaman untuk menampung kos ‘overhead’ dan menambah modal, kena tunggu entah sampai bila.

Saya berharap sangat, kerajaan prihatin dengan aduan rakyat mengenai mutu perkhidmatan yang diberikan. Percepatkanlah proses pinjaman yang memang ditubuhkan untuk membantu Bumiputera. Kerenah birokrasilah yang banyak membuatkan kami golongan muda sukar untuk mendapatkan pinjaman.

Memang ada segelintir yang dapat, tetapi berapa kerat? Siapa sebenarnya dapat pinjaman ini? Mereka ialah yang ada ‘kabel’, kenal orang dalam dan aktif dalam politik. Bagaimana kami Bumiputera rakyat Malaysia?

Sepatutnya, golongan belia yang memang sudah menjalankan perniagaan tidak diheret dalam kancah kerenah birokrasi dengan membuat kami tertunggu-tunggu, itupun belum tentu lagi lulus.

Saya faham, selalunya apa saja dasar yang dicanangkan kerajaan memang untuk membantu rakyat, lebih-lebih lagi seperti sekarang dalam keadaan kegawatan ekonomi, tetapi mereka yang diberi tanggungjawab untuk melaksanakan pula ‘lebih sudu daripada kuah.’

Pegawai bank yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan permohonan ini, jalankanlah kewajipan anda dengan jujur dan ikhlas untuk benar-benar membantu bangsa anda sendiri.

Janganlah terlalu memberi tekanan kepada pemohon dengan meminta pelbagai dokumen yang sebenarnya bergantung pada budi bicara pegawai untuk meluluskan atau menolak permohonan.

Patutlah along jadi pilihan rakyat Malaysia. Jangankan bank, pinjaman yang diuruskan kementerian pun kami terpaksa lalui bermacam kerenah.

Sepatutnya sebagai salah satu alternatif bantuan untuk kami, permohonan dipermudahkan dan tidak perlulah kami menunggu sampai berminggu-minggu, sedangkan kalau pinjam along, enam minit selesai semua urusan. Sekadar melaungkan slogan itu dan ini, kami golongan muda ‘tak makan’ dengan semua itu. Prihatinlah dengan aduan kami.
Aku ambik artikel ni yang dihantar melalui email dalam Metro hari nii Isnin 27.07.09 dan Aku amat bersimpati dengan Pemuda ni yang begitu bersungguh tapi digagalkan sistem kita yang telah berakal umbi...jadi aku harapkan sesuatu harus dilakukan oleh pihak yang berkenaan.




No comments: